Meneroka Peribahasa : Aplikasi Permainan dan Pembelajaran Peribahasa Melayu Sekolah Rendah Tahun 1 hingga Tahun 6
Keywords:
Peribahasa Melayu, Sekolah Rendah, Aplikasi Permainan dan Pembelajaran, Kaedah GDLCAbstract
Penggunaan peribahasa Melayu telah didedahkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sejak di sekolah rendah lagi. Walau bagaimanapun, melalui penelitian, penggunaan peribahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah rendah dalam konteks aktiviti harian dan penulisan semakin menurun. Hal ini kerana, pelajar kurang terdedah kepada konsep pembelajaran berkesan kerana pemodenan dan penggunaan teknologi yang menyebabkan pembelajaran peribahasa Melayu tidak lagi dianggap penting. Di samping itu, suasana sesi pembelajaran yang tidak menarik juga menyebabkan penurunan minat dan kecenderungan untuk mempelajari peribahasa di kalangan pelajar berlaku. Oleh itu, aplikasi Meneroka Peribahasa: Permainan dan Pembelajaran Peribahasa Melayu Sekolah Rendah Tahun 1 hingga Tahun 6 dibangunkan bagi mengatasi masalah ini sekali gus ingin menarik minat pelajar untuk mempelajari peribahasa Melayu dengan lebih mendalam. Objektif utama kami adalah untuk membangunkan aplikasi pembelajaran berasaskan permainan mengenai pembelajaran peribahasa Melayu untuk pelajar. Di samping itu, untuk meningkatkan kesedaran pelajar dalam mengetahui kepentingan peribahasa Melayu. Kaedah Kitaran Pembangunan Permainan (GDLC) digunakan untuk melaksanakan projek ini. Terdapat tujuh fasa yang terlibat dalam kaedah ini iaitu Perancangan, Pra-produksi, Produksi, Pengujian, Pra-pelancaran, Pelancaran, dan Pasca pengeluaran. Aplikasi ini boleh memberi impak positif dengan meningkatkan kemahiran dan penggunaan peribahasa Melayu di kalangan pelajar sekali gus dapat membantu guru mengajar pelajar menghayati peribahasa berdasarkan konteks dan situasi yang menarik. Kesannya, pelajar mampu menggunakan peribahasa Melayu secara meluas serta dapat membantu melonjakkan nilai Bahasa Melayu itu sendiri.