Pembangunan Program Perumahan Miskin Bandar di Kuala Lumpur
Keywords:
Program perumahan, miskin bandar, Kuala Lumpur, perumahan awamAbstract
Program perumahan untuk golongan miskin dibangunkan secara intensif untuk memastikan setiap isi rumah mendapat akses kepada perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki. Program perumahan kepada golongan miskin bandar diberi keutamaan dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk dan kos sara hidup di kawasan bandar. Walaupun pelbagai program perumahan dibangunkan, namun kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap program perumahan ini masih menjadi persoalan. Oleh itu, artikel ini bertujuan menjelaskan program-program perumahan yang dibangunkan untuk isi rumah miskin bandar yang menghuni di Kuala Lumpur. Terdapat program perumahan di bawah kerajaan pusat (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) seperti Program Rumah Ikram, Program Rumah Transit, Program Perumahan Rakyat Dimiliki, dan Program Perumahan Rakyat Disewa. Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga menyediakan inisiatif untuk membantu golongan miskin bandar melalui insentif Bantuan Deposit Sewa Rumah dan Sewa Rumah Bulanan, Bantuan Membina/Membaiki Rumah, dan Bantuan Deposit Beli Rumah Kos Rendah. Pembangunan program-program perumahan memainkan peranan penting untuk menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu dimiliki bagi kelompok isi rumah yang memerlukan. Langkah yang diambil ini berupaya mengatasi cabaran kualiti perumahan, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan perumahan serta keupayaan memiliki atau menyewa rumah melalui sistem pengagihan yang efektif terhadap perumahan mampu milik secara amnya dan program perumahan awam secara khususnya.