Kajian Kemalangan Jalan Raya di Persimpangan Jalan Persekutuan FT050 Jalan Batu Pahat-Kluang : Kajian Kes KM10-KM24
Keywords:
Kemalangan, Kesesakan Lalu Lintas, PersimpanganAbstract
Jumlah kemalangan maut di Jalan Persekutuan FT050 (Jalan Batu Pahat - Kluang) yang melibatkan pengguna jalan raya terus meningkat. Faktor jalan raya, seperti struktur jalan raya, lebar bahu jalan dan faktor persekitaran, seperti cuaca juga mempengaruhi kemalangan, namun kajian terhad telah dilakukan untuk melihat bagaimana tingkah laku pemandu mempengaruhi risiko kemalangan. Matlamat utama kajian ini adalah untuk mengkaji kemalangan dan kesesakan lalu lintas di persimpangan jalan raya FT050 di mana tertumpu pada KM10-KM24 yang bermula dari Kawasan Perindustrian Sri Gading ke Parit Haji Ali, Parit Raja. Jalan persekutuan yang biasanya dicirikan sebagai persimpangan yang diberi isyarat jarak dekat, kepadatan jalan masuk yang tinggi dan jumlah lalu lintas yang tinggi. Hal ini bukan sahaja boleh menyebabkan berlakunya kemalangan, namun boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya pada waktu puncak pengguna jalan raya. Hasil analisis data kajian menunjukkan antara faktor-faktor kemalangan jalan raya di persimpangan ialah pemandu melanggar lampu isyarat dengan sengaja. Manakala hubungan antara persimpangan dan kesesakan adalah pemandu mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan ketika keluar dan masuk simpang. Titik konflik yang tinggi di sesuatu kawasan akan berlaku jika laluan-laluan masuk tidak dikawal dengan efektif dan papan tanda yang tidak menepati piawaian juga mendorong kepada berlakunya kemalangan jalan raya. Kesimpulannya, pihak berkuasa harus mengambil langkah-langkah untuk membuat program yang secara berkala akan memantau, memulihkan dan bahkan memperbaiki infrastruktur jalan raya untuk memastikan infrastruktur jalan raya dapat berfungsi dengan baik, sehingga dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia.