Pembelajaran Berasaskan Pengalaman melalui Latihan Industri dalam Bidang Pembinaan
Keywords:
TVET, Construction industry, Work-Based LearningAbstract
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan sektor pendidikan yang memberikan penekanan kepada pembelajaran praktikal dan perkembangan keterampilan yang sesuai dengan keperluan industri. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk menilai tahap pengaplikasian elemen dalam kitaran Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (PBP) oleh Kolb serta tahap penguasaan teori dan praktikal pelajar melalui latihan industri dalam bidang pembinaan. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara elemen PBP dan tahap penguasaan teori dan praktikal pelajar. Reka bentuk kajian adalah kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan soal selidik melalui Google Form. Kajian melibatkan seramai 179 pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi program pembinaan. Hasil kajian mendapati bahawa semua elemen dalam kitaran PBP berada pada tahap yang tinggi, termasuk tahap penguasaan teori dan praktikal pelajar. Penemuan juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang signifikan antara pengaplikasian PBP dan tahap penguasaan teori dan praktikal. Justeru, kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan yang berguna kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dalam mewujudkan program latihan industri yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan industri pembinaan.



