Persepsi Pelajar Program Katering Kolej Vokasional (KV) Terhadap Pengetahuan, Sikap dan Tingkah Laku Dalam Penyediaan Makanan
Keywords:
Penyediaan makanan, pengetahuan, sikap, tingkah laku, kebersihan, keselamatanAbstract
Penyediaan makanan ialah satu proses menghasilkan makanan mengikut prosedur yang betul. Sesetengah individu mengetahui kepentingan menjaga kebersihan dalam penyediaan makanan tetapi mereka masih tidak mengaplikasikannya. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui persepsi pelajar kolej vokasional (KV) terhadap penyediaan makanan dari aspek pengetahuan, sikap dan tingkah laku. Reka bentuk kajian ini ialah kajian tinjauan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan borang soal selidik digunakan sebagai alat pengumpulan data. Borang soal selidik kajian ini telah disahkan oleh pakar dan kajian rintis telah dilaksanakan untuk menentukan kebolehpercayaannya sebelum diedarkan kepada responden Responden kajian ini adalah seramai 116 orang pelajar dari dua buah KV. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 26 untuk mendapatkan frekuensi, peratusan, skor min dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi pelajar KV terhadap pengetahuan, sikap dan tingkah laku dalam penyediaan makanan adalah tinggi. Kesimpulannya, persepsi seseorang penyedia makanan terhadap pengetahuan, sikap dan tingkah laku dalam penyediaan makanan adalah amat ditegaskan dan perlu dititikberatkan. Hal ini kerana kesihatan dan keselamatan pengguna tertakluk kepada penyedia makanan. Impak kajian ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan rasa tanggungjawab pelajar katering KV terhadap keselamatan dan kebersihan makanan.