Mesin Pengasingan Sisa Makanan
Keywords:
Pengurusan Sisa Makanan, Kebersihan, Ergonomik, Kelestarian, EfisienAbstract
Pengurusan sisa makanan yang sistematik amat penting bagi mengekalkan kebersihan, kelestarian persekitaran, serta kecekapan operasi di premis makanan berskala besar seperti kafeteria. Kaedah konvensional, iaitu pengguna membuang sisa makanan ke dalam tong sampah sebelum meletakkan pinggan di besen, sering menimbulkan pencemaran bau, menarik serangga perosak, dan mendedahkan sisa makanan kepada persekitaran terbuka. Bagi mengatasi masalah ini, sebuah Mesin Pengasingan Sisa Makanan direka bentuk dengan mekanisme mudah tetapi berkesan. Pinggan kotor dimasukkan melalui slot khas, di mana sisa makanan akan ditolak secara automatik oleh bilah pengikis ke dalam bekas sisa tertutup. Pinggan kemudiannya bergerak menuruni landasan dan tersusun rapi di rak bawah mesin, bersedia untuk dibawa ke ruang pembasuhan. Ujian perbandingan antara kaedah manual dan mesin ini dijalankan berdasarkan lima kriteria: penyelenggaraan, kebersihan, praktikaliti, mesra pengguna, dan mesra pekerja. Hasilnya menunjukkan mesin ini mengurangkan risiko pencemaran, mempercepat proses pengumpulan pinggan, serta meningkatkan ergonomik kerja pekerja. Oleh itu, mesin pengasingan sisa makanan ini merupakan alternatif yang lebih praktikal dan lestari untuk pengurusan sisa makanan di kafeteria berkapasiti tinggi.



