Pemerkasaan Permainan Tradisional Wau Bulan melalui Cereka Pendek “Animasi Bayu Purnama”
Keywords:
Wau Bulan, Animasi Bayu Purnama, permainan tradisional, Malaysia, animasi 2D dan 3D, pembuatan wau bulanAbstract
Kajian ini dilakukan untuk menghasilkan sebuah animasi berfokuskan permainan tradisional Malaysia iaitu Wau Bulan yang akan memberikan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Hal ini jelas apabila seni budaya dan permainan tradisional akan lenyap 20 tahun lagi kerana generasi masa kini tidak lagi berminat untuk memeliharanya ekoran ledakan teknologi dan peredaran zaman (Harrith Hisham, 2022). Selain itu, kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan projek ini adalah gabungan pembangunan animasi 2D dan 3D yang mempunyai tiga peringkat iaitu pra - produksi, produksi dan pasca - produksi. Ini adalah proses yang penting dalam semua projek penghasilan animasi. Seterusnya, objektif utama kami adalah menganalisis kepentingan permainan tradisional melalui pengumpulan data dan maklumat serta memastikan Wau Bulan kekal kontemporari dan relevan, membangunkan animasi untuk Wau Bulan yang bertajuk “Bayu Purnama” untuk memupuk kesedaran generasi muda dan memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan mengkaji tahap kesedaran penonton berdasarkan animasi “Bayu Purnama” dengan memberikan soal selidik secara dalam talian. Tambahan pula, animasi ini perlu dihasilkan supaya generasi muda terutama kanak-kanak sedar tentang kepentingan memartabatkan wau bulan dan mereka perlu kerap menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah. Impaknya, kanak-kanak yang bermain wau mampu memberikan mereka pelbagai faedah seperti kemahiran, kepandaian dan ketangkasan sambil mengeratkan hubungan persaudaraan (Adila Sharinni Wahid, 2023). Seterusnya, projek ini menyertakan cara-cara pembuatan wau bulan. Animasi ini juga mempunyai latar belakang kampung, kesan bunyi dan pesan moral untuk menarik minat penonton. Diharapkan, kejayaan penghasilan animasi ini dapat dipromosikan pada masa akan datang memandangkan animasi seperti ini masih belum berkembang.



