Eichhornia Crassipes dan Pistia Stratiotes Sebagai Agen Fitoremediasi dalam Rawatan Air Sisa Kumbahan
Keywords:
Eichhornia Crassipes, Pistia Stratiotes, air sisa kumbahan, fitoremediasiAbstract
Bahan pencemar yang ada dalam ekosistem akuatik akan memberikan impak yang negatif kepada alam sekitar dan organisma akuatik. Eichhornia Crassipes dan Pistia Stratiotes merupakan antara spesies yang mempunyai kadar pertumbuhan yang cepat dan mempunyai kemampuan untuk menyerap nutrien sekali gus menjadikan ia sesuai digunakan untuk merawat air sisa kumbahan melalui kaedah bioteknologi iaitu fitoremediasi. Kajian ini akan dijalankan untuk menentukan kadar kualiti air sisa kumbahan sebelum dan selepas rawatan yang menggunakan kaedah fitoremediasi. Selain itu, antara objektif lain kajian ini juga adalah untuk menilai keberkesanan Eichhornia Crassipes dan Pistia Stratiotes sebagai agen fitoremediasi bagi rawatan air sisa kumbahan. Sampel tumbuhan akuatik yang digunakan adalah berbeza berat iaitu 0, 10, 20 dan 30 g diuji untuk rawatan tersebut. Hasil dapatan dari penggunaan Eichhornia Crassipes dan Pistia Stratiotes, penggunaan bahan kimia yang boleh mendatangkan bahaya kepada hidupan dapat dikurangkan untuk merawat air. Selain itu, kajian ini membantu membaik pulih kualiti air secara semula jadi. Di samping itu, berat tumbuhan paling maksimum daripada 0,10, 20 dan 30 g yang diuji menunjukkan nilai paling optimum dalam menyingkirkan pepejal terampai. Pada akhir kajian, tumbuhan Pistia Stratiotes dan Eichhornia Crassipes pada berat 30 g menunjukkan peratusan penyingkiran yang paling tinggi bagi jumlah pepejal terampai dan nitrogen ammonia dengan kadar yang lebih cepat berbanding 10 dan 20 g bagi kedua-dua tumbuhan tersebut. Melalui kajian ini, dapat dikenal pasti bahawa Pistia Stratiotes dapat merawat air dengan baik berbanding Eichhornia Crassipes serta menunjukkan peningkatan bacaan melalui analisis data. Akhir sekali, pencemaran air dapat dicegah dengan mengamalkan konsep kelestarian untuk memenuhi keperluan dan aspirasi manusia.



