PENDIDIKAN DI RUMAH: Membesarkan Anak-Anak Di Luar Bilik Darjah Konvensional
Synopsis
‘Bebas untuk Belajar’ – Hari ini, tidak semua kanak-kanak berpeluang untuk mendapat pendidikan yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran dan kebolehan diri. Standard pengajaran dan pembelajaran yang tercipta dalam sistem pendidikan masa kini secara tidak langsung telah mengecilkan ekosistem pembelajaran terbuka, mengehad dan menafikan peluang untuk anak-anak memperkembangkan potensi diri dalam acuan sendiri. Buku ini cuba memberi gambaran mengenai Pendidikan di Rumah sebagai alternatif terhadap pendidikan arus perdana dalam mengoptimumkan kualiti diri kanak-kanak selaras dengan aspirasi setiap ibu bapa demi kesejahteraan hidup. Buku ini membawa sorotan mengenai sejarah perkembangan Pendidikan di Rumah, Tuntutan dan Keperluan Pendidikan Anak-anak dalam era digital, Model Pendidikan di Rumah Acuan Malaysia, Kurikulum Pendidikan di Rumah serta Realiti menjalani Pendidikan di Rumah dalam konteks dan persekitaran masyarakat Malaysia. Sesungguhnya, Pendidikan di Rumah mula mendapat perhatian setiap ibu bapa yang menitikberatkan perkembangan menyeluruh potensi diri anak-anak dalam kerangka budaya dan amalan tradisi masyarakat. Buku ini turut mengetengahkan beberapa kajian pembangunan model Pendidikan di Rumah yang bersesuaian dengan aspirasi dan citra masyarakat Malaysia. Komuniti Pendidikan di Rumah yakin bahawa kanak-kanak yang dilatih oleh ibu bapa berupaya hidup dengan lebih sejahtera dan mampu menjadi generasi masa depan negara yang mempunyai sahsiah dan perwatakan diri yang unggul serta berbudaya dan bertatasusila tinggi.