Kesedaran Tentang Proses Pembelian Rumah Mampu Milik (RMM) Di Sarawak
Keywords:
affordable housing, SarawakAbstract
Abstrak: Perumahan mampu milik telah menjadi fenomena yang kini berkembang secara aktif pada abad ini serta membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri. Pembangunan rumah mampu milik yang semakin berkembang menyebabkan kurangnya sensitiviti dari segi penyampaian maklumat kepada penduduk sehingga timbul pelbagai spekulasi yang boleh mengelirukan penduduk berkaitan pembelian rumah. Dalam kajian ini, pengkaji menekankan dua objektif kajian untuk menjawab permasalahan kajian iaitu kesedaran penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) dan mengetahui proses penyebaran maklumat Rumah Mampu Milik (RMM) dalam kalangan penduduk. Penggunaan soal selidik dan temu bual adalah diutamakan dalam kajian ini bagi mendapatkan maklumat dengan lebih jelas dan terperinci berkaitan isu kajian. Hasil daripada kajian ini, didapati wakil pemaju yang ditemu bual tidak bersetuju dengan penggunaan medium lain selain portal rasmi Kementerian Perumahan sebagai medium penyebaran maklumat rasmi berkaitan rumah mampu milik. Tambahan pula, hasil kajian juga menunjukkan masih ramai penduduk yang masih kurang jelas dengan penyediaan rumah mampu milik yang merangkumi maklumat penting seperti jenis rumah mampu milik yang terdapat di Sibu, syarat kelayakan dan bantuan kerajaan. Secara keseluruhannya, kesedaran tentang proses pembelian rumah mampu milik masih belum mencapai tahap optimum dalam kalangan penduduk Sibu.