Kajian Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) bagi Meningkatkan Kualiti Keselamatan Pekerja di Tapak Bina
Keywords:
Industri pembinaan, kecerdasan buatan, keselamatan pekerja, tapak bina, teknologi AIAbstract
Keselamatan di tapak bina kekal menjadi isu kritikal dalam industri pembinaan di Malaysia. Namun, usaha ke arah peningkatan tahap keselamatan sering berhadapan dengan cabaran seperti kos pelaksanaan teknologi yang tinggi, kekurangan latihan komprehensif yang sesuai, serta ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP). Cabaran-cabaran ini memerlukan pendekatan baharu yang lebih proaktif dan berteknologi tinggi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI). Kajian ini bertujuan untuk meneroka potensi kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan tahap keselamatan pekerja di tapak bina. Objektif kajian merangkumi tiga aspek utama iaitu mengkaji keberkesanan penggunaan AI dalam mempertingkatkan kualiti keselamatan pekerja di tapak bina, mengenal pasti cabaran dalam pelaksanaan teknologi AI, dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan untuk memperluas penggunaan AI dalam sektor pembinaan. Metodologi kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui temu bual separa berstruktur bersama responden yang terdiri daripada Kontraktor G7, wakil klien, perunding profesional, pegawai dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). Lokasi kajian meliputi tiga negeri utama pembangunan iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Data dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik bagi mengenal pasti corak dan isu utama berkaitan penggunaan AI. Kajian ini dijangka dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang impak AI terhadap keselamatan di tapak bina serta cabaran pelaksanaannya. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada industri pembinaan dan institusi pendidikan dalam merangka dasar keselamatan serta kandungan latihan yang lebih berorientasikan teknologi masa hadapan.



