Kajian Hubungan Faktor Mempengaruhi Penggunaan Alat Perlindungan Diri dengan Pematuhan Terhadap Standard Keselamatan dan Kesihatan Pekerja Di Tapak Bina
Keywords:
Alat pelindung diri (PPE), hubungan, keselamatan dan kesihatan, pekerja, tapak binaAbstract
Keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan aspek penting dalam industri pembinaan yang sering terdedah kepada risiko kemalangan di tapak bina. Salah satu langkah pencegahan utama bagi mengurangkan risiko tersebut ialah penggunaan peralatan pelindung diri (PPE). Penggunaan PPE secara konsisten bukan sahaja melindungi pekerja daripada kecederaan, malah mencerminkan tahap profesionalisme serta keprihatinan majikan terhadap kebajikan tenaga kerja. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan PPE serta menilai pematuhan pekerja terhadap standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina. Di samping itu, kajian ini turut menganalisis hubungan antara faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaan PPE dengan tahap pematuhan terhadap standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui edaran soal selidik sebagai instrumen pengumpulan data. Responden terdiri daripada pengurus projek, jurutera tapak, penyelia tapak, pegawai keselamatan, jurukur bahan dan pekerja tapak bina di negeri Johor yang dipilih menggunakan kaedah persampelan berstrata. Daripada 331 borang soal selidik yang diedarkan, sebanyak 113 borang (34%) telah diterima dan dianalisis. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor latihan keselamatan, penguatkuasaan peraturan, sikap pekerja dan komitmen pihak pengurusan mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap penggunaan PPE di tapak bina. Tahap pematuhan pekerja terhadap standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan didapati berada pada tahap sederhana hingga tinggi. Kajian ini menegaskan bahawa pendekatan keselamatan yang berstruktur dan berterusan mampu meningkatkan pematuhan penggunaan PPE serta mengurangkan risiko kemalangan di tapak bina. Dapatan kajian ini memberi implikasi praktikal kepada pihak pengurusan dan kontraktor dalam merangka strategi keselamatan yang lebih berkesan dan sistematik. Oleh itu, hasil kajian menyokong usaha pengukuhan pelaksanaan dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi meningkatkan kesejahteraan pekerja serta prestasi industri pembinaan secara keseluruhan.



