Kajian Persaingan antara Syarikat Konsesi dengan Kontraktor G1 dan G2 bagi Perolehan Tender dalam Industri Pembinaan
Keywords:
Kontraktor G1 dan G2 , , industri pembinaan, perolehan tender, persaingan, syarikat konsesiAbstract
Perolehan tender dalam industri pembinaan adalah langkah pertama dalam fasa pembinaan bagi suatu organisasi sebelum melaksanakan projek pembinaan. Perolehan yang dilakukan mempunyai banyak jenis kategori mengikut kesesuaian dan kelayakan bagi syarikat-syarikat kontraktor dalam industri pembinaan. Perolehan ini juga memainkan peranan penting sebelum ikatan perjanjian antara dua pihak iaitu klien dan kontraktor dalam melaksanakan sesuatu projek pembinaan mengikut tempoh yang telah dipersetujui. Namun begitu, persaingan yang sangat tinggi telah menyebabkan kesukaran untuk memperolehi tender bagi kontraktor G1 dan G2 dengan syarikat konsesi. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor yang mempengaruhi persaingan antara syarikat konsesi dengan kontraktor G1 dan G2 dan menganalisis kaedah penambahbaikan bagi mengurangkan persaingan antara syarikat konsesi dengan kontraktor G1 dan G2 bagi perolehan dalam industri pembinaan. Metodologi kajian yang digunakan adalah melalui kaedah kuantitatif bagi mengumpul data primer dengan mengedarkan borang soal selidik kepada kontraktor G1 dan G2. Manakala pengumpulan data sekunder dilakukan melalui kajian literatur seperti artikel, jurnal, keratan akhbar, buku ilmiah dan sebagainya. Johor dipilih sebagai lokasi kajian kerana negeri ini mempunyai bilangan kontraktor G1 dan G2 yang tertinggi. Manakala data yang dikumpul dianalisis melalui perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) untuk mengetahui kadar peratusan, min dan sebagainya. Kadar maklum balas yang diterima bagi kajian ini adalah sebanyak 31.6% bagi kontraktor G1 dan 35.5% bagi kontraktor G2. Hasil dapatan kajian mendapati faktor yang mempengaruhi persaingan adalah hubungan dan jaringan dengan nilai min 3.68. Manakala kaedah penambahbaikan melalui latihan peningkatan kemahiran dengan nilai min 4.00. Kesimpulannya, kajian yang dilakukan ini dapat memberi impak yang positif kepada peluang kontraktor G1 dan G2 ini untuk bersaing secara sihat dalam memajukan ekonomi negara Malaysia.



