Pelaksanaan Sustainable Development Goal 8 dalam Meningkatkan Kualiti Pekerjaan di Industri Pembinaan Negeri Sarawak
Keywords:
Sustainable Development Goal 8 , Kualiti Pekerjaan, Industri PembinaanAbstract
Kajian ini meneliti pelaksanaan Sustainable Development Goal 8 (SDG 8) dalam industri pembinaan di Sarawak, dengan fokus kepada cabaran utama dalam meningkatkan kualiti pekerjaan serta menilai tahap pelaksanaan SDG 8 dalam sektor tersebut. SDG 8 menekankan penyediaan pekerjaan yang bermaruah, pematuhan gaji minimum, keselamatan pekerjaan, dan perlindungan sosial pekerja. Walau bagaimanapun, sektor pembinaan masih berdepan pelbagai kekangan seperti kelewatan pembayaran gaji, ketiadaan faedah perlindungan sosial, kos operasi tinggi, dan beban kerja berlebihan. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melalui soal selidik yang diedarkan kepada 107 responden terdiri daripada pekerja mahir dan separa mahir. Analisis deskriptif menunjukkan bahawa cabaran pelaksanaan SDG 8 berada pada tahap sederhana, dengan isu ketidakrelevanan gaji berbanding beban kerja menjadi cabaran utama. Dapatan juga menunjukkan bahawa pelaksanaan SDG 8 di Sarawak masih pada tahap sederhana, dengan penekanan terhadap latihan keselamatan dan kemahiran pekerja, ketelusan pembayaran gaji, serta penyediaan perlindungan sosial melalui caruman KWSP dan PERKESO. Walaupun terdapat kemajuan dalam pelaksanaan, usaha berterusan diperlukan untuk meningkatkan kesedaran, memperkukuh sistem pembayaran gaji, serta memastikan perlindungan pekerja secara menyeluruh. Kajian ini menekankan kepentingan pendekatan bersepadu antara kerajaan, majikan, dan pekerja bagi mempertingkatkan kualiti pekerjaan, produktiviti, dan kesejahteraan pekerja, sejajar dengan aspirasi SDG 8 dan pembangunan mampan industri pembinaan di Sarawak.



