Kajian Peningkatan Harga Rumah di Alor Setar, Kedah
Keywords:
Perumahan, Pasaran harta tanah, pasaran, tren hargaAbstract
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis tren peningkatan harga rumah di Alor Setar, Kedah bagi tempoh 5 tahun (2020 hingga 2024) serta membuat anggaran perubahan harga rumah pada masa hadapan berdasarkan pola harga sedia ada. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berasaskan data sekunder yang diperoleh daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), melibatkan harga median transaksi bagi tiga jenis rumah kediaman utama iaitu rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar (Semi-D). Analisis deskriptif digunakan bagi mengenal pasti pola perubahan harga rumah secara tahunan, manakala kaedah pengiraan manual berdasarkan kadar pertumbuhan purata tahunan digunakan untuk menganggar pergerakan harga rumah pada masa hadapan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa harga rumah di Alor Setar secara keseluruhannya mengalami peningkatan yang sederhana dan stabil sepanjang tempoh kajian, dengan variasi kadar pertumbuhan mengikut jenis rumah. Rumah berkembar mencatatkan peningkatan harga yang lebih ketara berbanding rumah teres, manakala rumah teres setingkat menunjukkan kestabilan harga yang lebih konsisten. Hasil kajian ini diharap dapat memberi gambaran awal kepada pembeli rumah, pelabur dan pihak berkepentingan dalam memahami arah aliran pasaran perumahan di bandar bersaiz sederhana serta menyokong perancangan dan pembuatan keputusan berkaitan perumahan.



