Kajian Masalah dan Penyelesaian Kaedah Membuat Keputusan Pelbagai Kriteria (MCDM) Semasa Penilaian Pembangunan Projek Pembinaan Perumahan Mampan oleh Pemaju Swasta

Authors

  • Nur Atiyah Zukeriman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
  • Rozlin Zainal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
  • Sharifah Meryam Shareh Musa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Keywords:

kaedah membuat keputusan pelbagai kriteria (MCDM), Penilaian pembangunan, perumahan mampan, projek pembinaan

Abstract

Projek perumahan mampan menuntut keseimbangan menyeluruh antara aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang berdaya tahan serta memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang. Dalam konteks ini, kaedah membuat keputusan pelbagai kriteria (Multi-Criteria Decision Making, MCDM) dikenal pasti sebagai alat analitikal yang sesuai untuk menilai pelbagai kriteria kompleks secara lebih objektif dan sistematik. Walau bagaimanapun, pelaksanaan MCDM dalam penilaian projek perumahan mampan sering berdepan cabaran seperti ketergantungan antara kriteria, ketidakpastian maklumat, konflik kepentingan pihak berkepentingan serta ketiadaan garis panduan penilaian yang seragam, sekali gus menjejaskan ketelusan dan konsistensi keputusan pemaju. Kekangan ini berpunca daripada keterbatasan penyelidikan empirikal yang meneliti hubungan antara masalah penggunaan MCDM dan penyelesaian yang berpotensi dijadikan penanda aras amalan industri. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti masalah utama penggunaan MCDM, menentukan penyelesaian utama yang relevan serta menganalisis hubungan antara kedua-duanya dalam konteks penilaian pembinaan projek perumahan mampan. Kajian menggunakan pendekatan kuantitatif melalui edaran soal selidik berstruktur kepada 140 syarikat pemaju perumahan swasta di Selangor dan memperoleh kadar maklum balas sebanyak 49 peratus. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif (frekuensi dan min) serta korelasi Spearman melalui perisian SPSS bagi menguji kekuatan dan signifikan hubungan antara pemboleh ubah. Dapatan menunjukkan bahawa masalah utama ialah kesukaran melibatkan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai keutamaan berbeza, manakala penyelesaian utama ialah penambahbaikan dalam pemilihan dan penstrukturan kriteria penilaian agar lebih jelas dan selaras dengan matlamat kemampanan. Analisis hubungan turut membuktikan wujud hubungan signifikan antara konflik pihak berkepentingan dengan keperluan pengurusan maklumat yang lebih sistematik dan bersepadu. Secara keseluruhan, kajian ini menyumbang kepada peningkatan kefahaman pemaju terhadap cabaran sebenar penggunaan MCDM serta menyediakan asas empirikal untuk pembangunan kerangka penilaian yang lebih standard, telus dan praktikal bagi menyokong pelaksanaan projek perumahan mampan pada masa hadapan.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

18-06-2026

Issue

Section

Article

How to Cite

Zukeriman, N. A., Zainal, R., & Shareh Musa, S. M. (2026). Kajian Masalah dan Penyelesaian Kaedah Membuat Keputusan Pelbagai Kriteria (MCDM) Semasa Penilaian Pembangunan Projek Pembinaan Perumahan Mampan oleh Pemaju Swasta. Research in Management of Technology and Business, 7(1), 411-432. https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/rmtb/article/view/23730