Hubungan antara Pengintegrasian Amalan Lestari dan Kecemerlangan Operasi dalam Industri Pergudangan di Selangor, Malaysia.
Keywords:
Pengintegrasian Amalan Lestari, Kecemerlangan Operasi, Pergudangan, Ekonomi, Sosial, Alam SekitarAbstract
Industri pergudangan di Selangor memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan negara, namun pertumbuhan pesat sektor ini meningkatkan keperluan terhadap pelaksanaan amalan lestari bagi menyokong kecemerlangan operasi. Walaupun amalan lestari berpotensi meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan impak sosial dan alam sekitar, hubungannya dengan kecemerlangan operasi dalam konteks industri pergudangan tempatan masih kurang diterokai, sebahagiannya disebabkan oleh kos pelaksanaan yang tinggi dan penggunaan teknologi lestari yang terhad. Oleh itu, kajian ini meneliti hubungan antara pengintegrasian amalan lestari dari aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar dengan kecemerlangan operasi dalam industri pergudangan di Selangor menggunakan pendekatan kuantitatif. Data dikumpul melalui soal selidik dan dianalisis menggunakan perisian SPSS, meliputi analisis deskriptif, ujian kebolehpercayaan Cronbach’s Alpha (0.835–0.893), ujian normaliti Kolmogorov-Smirnov serta analisis korelasi Spearman. Dapatan menunjukkan tahap pengintegrasian amalan lestari berada pada tahap tinggi bagi aspek sosial (4.31), ekonomi (4.27) dan alam sekitar (4.22), manakala kecemerlangan operasi berada pada tahap sangat tinggi (4.48). Analisis korelasi turut mendapati wujud hubungan positif dan signifikan antara ketiga-tiga aspek amalan lestari dengan kecemerlangan operasi (r = 0.510–0.610, p < 0.01), sekali gus menyokong semua hipotesis kajian. Kajian ini memberi implikasi praktikal kepada pihak industri dan pembuat dasar dalam merangka strategi kelestarian yang menyeluruh bagi meningkatkan prestasi operasi pergudangan secara berterusan dan mampan.



