Menganalisa Faktor-Faktor yang Menghalang Pensijilan Halal Malaysia: Perspektif Pihak Berkuasa Halal Malaysia
Keywords:
Industri halal, bahan mentah, kebersihan, halal tayyibanAbstract
Sijil halal yang dikeluarkan JAKIM wajar dipatuhi oleh setiap pemilik dan sebarang pengingkaran akan menyebabkan sijil boleh ditarik semula. Isu yang timbul menjadi cabaran kepada pihak berkuasa maka pernyataan masalah diperoleh berkaitan faktor-faktor yang menghalang pensijilan halal Malaysia antaranya ialah proses pengurusan halal, proses permohonan yang kompleks dan rumit, isu pemalsuan logo dan pensijilan halal, dan tahap kesedaran yang rendah di kalangan pengusaha PKS. Objektif kajian ini adalah menganalisis faktor cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa pensijilan halal dalam menguruskan proses pensijilan dan mengenalpasti cadangan yang boleh diberi dalam meningkatkan prestasi pengurusan dalam menguruskan proses pensijilan halal di Malaysia. Kaedah kajian kualitatif ini dilakukan dengan sesi temubual terhadap pihak berkuasa halal dalam negeri iaitu JAIN di negeri selatan seperti JAIJ, JAIM, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Dapatan kajian didapati kekurangan kakitangan dan kesedaran serta keprihatinan pihak pengusaha adalah cabaran utama dalam proses pensijilan halal. Berdasarkan analisis data, kajian ini telah mengenal pasti beberapa cabaran utama dalam pengurusan pensijilan halal di Malaysia, termasuk kekurangan sumber manusia dan fasiliti teknologi, kesedaran pengusaha yang rendah, serta isu logistik dan kepercayaan pengguna. Dalam menangani cabaran ini, cadangan seperti penambahan kuota kakitangan, peningkatan fasiliti teknologi, kerjasama strategik dengan pihak industri dan akademik, serta inisiatif pendidikan halal telah dikemukakan. Pendekatan ini bertujuan untuk memperbaiki keberkesanan sistem pensijilan halal, meningkatkan kredibiliti pihak berkuasa, dan menyokong pembangunan industri halal di Malaysia.



