Kajian Konflik Penjadualan Semasa Peoptimuman Masa dan Peminimuman Kos Projek Pembinaan
Keywords:
Kos, Kontraktor, Masa, Penjadualan, Fasa Perancangan ProjekAbstract
Penjadualan dalam bidang pembinaan merujuk kepada garis masa yang digunakan untuk menentukan susunan kerja serta tempoh aktiviti pembinaan sesuatu projek. Penjadualan yang tidak tepat berpotensi menyebabkan isu kritikal dalam pelaksanaan projek, mengakibatkan kelewatan masa dan peningkatan kos. Oleh itu, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti konflik penjadualan yang timbul semasa fasa perancangan projek pembinaan, khususnya dalam pengoptimuman masa dan peminimuman kos. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis hubungan antara kedua-dua konflik penjadualan tersebut. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan soal selidik berstruktur sebagai instrumen pengumpulan data. Soal selidik diedarkan secara dalam talian dan fizikal kepada responden, yang melibatkan 181 syarikat kontraktor gred G4 di Johor Bahru, Johor, dengan kadar maklum balas sebanyak 33.70%. Analisis data dilakukan menggunakan statistik deskriptif, termasuk analisis frekuensi, min, dan korelasi yang dijalankan melalui perisian SPSS. Hasil kajian menunjukkan bahawa konflik penjadualan semasa pengoptimuman masa biasanya berpunca daripada kelewatan dalam membuat keputusan, manakala konflik semasa peminimuman kos lebih banyak disebabkan oleh isu sumber yang terhad. Selain itu, hubungan antara kedua-dua konflik ini mendapati bahawa konflik utama dalam pengoptimuman masa adalah "tidak memahami tugas kerja" dengan konflik peminimuman kos pula disebabkan oleh "terlalu mengikut emosi" adalah yang paling signifikan. Kajian ini memberikan rujukan praktikal kepada kontraktor dalam menangani konflik penjadualan projek dengan cara mengenal pasti dan menyelesaikan konflik yang wujud, yang akhirnya membantu mencapai penjadualan yang lebih efisien, mengurangkan kos tambahan, serta memastikan matlamat masa tercapai dengan merangka strategi penyelesaian yang berkesan.



