Tahap Kepuasan Penyediaan Fasiliti di Kampung Orang Asli Kangkar Senangar dan Kampung Orang Asli Sejagong, Batu Pahat
Keywords:
Orang Asli, Fasiliti, Kualiti hidup, Tahap kepuasanAbstract
Kebanyakan orang asli di Malaysia masih terpinggir dari segi sosial, ekonomi dan kebudayaan. Masyarakat orang asli di Malaysia dijaga di bawah seliaan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Geografinya, majoriti masyarakat orang asli tinggal di kawasan luar bandar dan jauh ke pendalaman yang menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan dan kemudahan asas. Banyak projek pembangunan infrastruktur di Malaysia telah dicadangkan untuk menambah baik kualiti hidup masyarakat Orang Asli. Namun, masyarakat ini masih ketinggalan dari segi infrastruktur berbanding kaum lain. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji jenis fasiliti yang terdapat di Kampung Orang Asli Kangkar Senangar dan Kampung Orang Asli Sejagong, Batu Pahat serta mengkaji tahap kepuasan masyarakat orang asli terhadap fasiliti yang disediakan. Bagi mencapai tujuan tersebut, kajian ini menggunakan kaedah campuran (triangulasi) iaitu melalui pemerhatian dan soal selidik. Analisis kajian ini mendapati bahawa masalah kerosakan jalan akibat larian air hujan, lampu jalan yang tidak berfungsi, dan kekurangan bekalan air bersih merupakan isu utama yang menghalang masyarakat menikmati fasiliti pada tahap yang memuaskan. Kajian ini menekankan pentingnya perancangan dan pelaksanaan program pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk masyarakat Orang Asli.



