Keperluan Terhadap Pekerjaan Sambilan Dalam Kalangan Pekerja B40
Keywords:
Cabaran pekerja B40, Pekerjaan sambilan, Golongan B40Abstract
Perbelanjaan harian merupakan salah satu cabaran terutamanya bagi golongan B40 dalam memenuhi keperluan hidup. Oleh itu, isu pekerja yang melakukan dua pekerjaan dalam satu masa telah menjadi perkara biasa pada masa kini. Pelbagai cabaran yang dilalui yang mendorong seseorang melakukan lebih dari satu pekerjaan. Kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana tahap keperluan pekerja B40 dalam melakukan pekerjaan sambilan, serta mengenal pasti bidang pekerjaan yang menjadi pilihan pekerja B40 dalam mencari pekerjaan sambilan. Kajian dilakukan di Klang, Selangor. Seramai 175 orang dipilih dalam kalangan pekerja B40 sama ada dari sektor kerajaan mahupun sektor swasta untuk dijadikan sebagai responden. Kajian ini menggunakan teknik pensampelan mudah (convenience) di mana mengaplikasikan kaedah kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen bagi memperoleh data yang dikehendaki. Dapatan kajian mendapati bahawa golongan pekerja B40 memerlukan pekerjaan sambilan disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat, ingin menikmati kehidupan yang lebih selesa serta menampung keperluan pendidikan anak-anak atau ahli keluarga. Bidang pekerjaan yang menjadi pilihan responden untuk dijadikan sebagai pekerjaan sambilan adalah bidang perkhidmatan.