Nilai Tambah Mata Pelajaran Umum (MPU) Dalam Kebolehpasaran Bakal Graduan
Keywords:
Mata Pelajaran Umum, Kemahiran Generik, Kurikulum, Pembinaan Insan, BebananAbstract
Mata Pelajaran Umum (MPU) mempunyai objektif untuk membangunkan nilai tambah bakal graduan universiti dalam meningkatkan kualiti sahsiah, integriti dan kemahiran lain untuk mendepani kebolehpasaran. Pelaksanaan kursus MPU dilaksanakan di universiti awam dan swasta sepertimana yang digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Malaysia. Landskap pembelajaran dan pengajaran kursus MPU semakin meningkat sejajar dengan keperluan pasaran kerja iaitu kemahiran digital dan teknologi terkini. Penerapan dalam kursus MPU sentiasa diperkasakan menerusi intervensi teori berorientasikan struktur, nilai, isi kandungan dan proses. Pendekatan pembelajaran juga melihat pendekatan berasaskan perspektif tradisional, pengalaman, struktur/disiplin bidang, tingkah laku dan konstruktivis. Segala aspek dan pendekatan bertujuan untuk memastikan pemetaan hasil pembelajaran dicapai sepertimana yang digariskan oleh Outcome Based Education (OBE) sejajar dengan keperluan kebolehpasaran. Hasrat melahirkan bakal graduan kompeten dengan menilai keupayaan kursus MPU sebagai nilai tambah kebolehpasaran dapat dicapai menerusi pelaksanaan dan perancangan pembelajaran serta pengajaran yang berteraskan modal insan berintegriti, efektif, dinamik serta inovatif.