Konsep Jagaan Pelihara Berasaskan Keluarga Di Malaysia: Definisi, Kaedah Pengambilan Anak Pelihara Dan Ciri-Ciri Ibu Bapa Pelihara

Authors

  • Muzairiah Bajuri Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Norulhuda Sarnon@Kusenin Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia,Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Nor Jana Saim Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Fauziah Ibrahim Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,Universiti Kebangsaan Malaysia

Keywords:

anak pelihara, ibu bapa pelihara, ibu bapa kandung, keluarga pelihara

Abstract

Konsep jagaan pelihara berasaskan keluarga (family-based foster care) di Malaysia merupakan konsep penempatan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan pelindungan ke dalam jagaan penjaga selain daripada ibu bapa kandung di bawah Seksyen 30(1) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016). Penempatan ini adalah jagaan gantian bersifat sementara dalam bentuk persekitaran keluarga dimana terdapat kemungkinan kanak-kanak tersebut dapat dikembalikan ke keluarga kandung setelah kefungsian keluarga tersebut dapat dikembalikan. Konsep jagaan pelihara berasaskan keluarga ini telah digunapakai secara meluas di negara-negara maju sementara agak kurang dikenali di Malaysia. Justeru itu, kajian ini dijalankan di Malaysia bagi meneroka pengetahuan ibu bapa pelihara yang telah menjaga anak pelihara bagi tempoh tertentu terhadap konsep jagaan pelihara. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan Grounded Theory dengan penglibatan seramai 25 orang ibu bapa pelihara sebagai informan kajian yang dipilih menggunakan persampelan bertujuan. Kaedah temu bual mendalam menggunakan soalan separa berstruktur digunakan untuk pengumpulan data. Seterusnya data dianalisis menggunakan analisis tema menggunakan perisian Atlas.ti. Hasil kajian mendapati pengetahuan ibu bapa pelihara terhadap konsep jagaan pelihara berasaskan keluarga diperolehi daripada pengalaman yang dilalui sendiri sebagai ibu bapa pelihara. Pengetahuan yang dimiliki oleh ibu bapa pelihara tersebut merangkumi tiga aspek utama iaitu (1) definisi konsep jagaan pelihara berasaskan keluarga, (2) kaedah pengambilan anak pelihara dan (3) ciri-ciri ibu bapa pelihara. Dapatan hasil kajian ini boleh dijadikan panduan kepada pekerja sosial secara amnya dan orang awam khususnya bagi memberi kefahaman kepada mereka berkaitan program jagaan pelihara berasaskan keluarga di Malaysia. Seterusnya diharapkan dengan pengetahuan ini dapat membuka ruang kepada bakal ibu bapa pelihara bagi bersama-sama menyumbang dalam memberi pemeliharaan dan pelindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Downloads

Published

15-12-2018

How to Cite

Muzairiah Bajuri, Norulhuda Sarnon@Kusenin, Nor Jana Saim, & Fauziah Ibrahim. (2018). Konsep Jagaan Pelihara Berasaskan Keluarga Di Malaysia: Definisi, Kaedah Pengambilan Anak Pelihara Dan Ciri-Ciri Ibu Bapa Pelihara. Human Sustainability Procedia. https://publisher.uthm.edu.my/periodicals/index.php/hsp/article/view/1217