Sistem Perkhidmatan Dobi
Keywords:
Tempahan Dobi, Sistem Maklumat Berasaskan Web, Kecekapan Operasi, PrototaipAbstract
Peralihan ke kehidupan universiti membawa cabaran kepada pelajar, terutamanya dalam menguruskan tugasan harian seperti mencuci pakaian, yang sering menjadi beban disebabkan kekangan masa dan kemudahan di kampus yang terhad. Begitu juga, keluarga di kawasan Parit Raja yang sibuk bekerja turut menghadapi kesukaran untuk menguruskan tugasan mencuci pakaian, menambah tekanan dalam kehidupan harian mereka. Untuk menyelesaikan masalah ini, projek ini memperkenalkan pembangunan Sistem Perkhidmatan Dobi berasaskan web yang direka khas untuk pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan penduduk sekitar Parit Raja. Sistem ini membolehkan pengguna membuat tempahan, memilih jenis perkhidmatan, menjadualkan pengambilan, dan menentukan lokasi penghantaran, sekaligus menggantikan kaedah manual yang tidak efisien dan mengurangkan kebergantungan pada platform mesej seperti WhatsApp. Sistem ini dibangunkan menggunakan metodologi prototaip, dengan maklum balas daripada pihak berkepentingan melalui ujian berulang untuk memastikan ia memenuhi keperluan pengguna. Penjejakan status masa nyata dan pilihan penyesuaian turut diintegrasikan bagi meningkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan. Kajian ini menggunakan teknologi web moden, sistem pengurusan pangkalan data, dan amalan reka bentuk mesra pengguna untuk membangunkan dan menguji sistem ini dengan berkesan. Hasil kajian menunjukkan sistem ini secara signifikan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan dobi sambil mengurangkan masa dan kos pengguna. Projek ini menunjukkan potensi teknologi untuk memodenkan perkhidmatan dobi tradisional bagi meningkatkan lagi pengalaman pengguna.



